Penormalan kelantangan
Audio dihantar kepada kami pada tahap kelantangan yang berbeza.
Kami menggunakan penormalan kelantangan untuk menyeimbangkan lagu yang perlahan dan kuat, lantas mencipta pengalaman seragam yang lebih seimbang.
Harap maklum: Pemain web dan peranti pihak ke-3 (misalnya pembesar suara dan TV) tidak menggunakan penormalan kelantangan.
Cara kami menyelaraskan kelantangan
Kami menyesuaikan lagu kepada -14 dB LUFS, menurut piawaian ITU 1770 (Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa).
- Kami menormalkan seluruh album pada masa yang sama, maka pengimbangan gandaan tidak berubah antara lagu. Ini bermakna lagu yang kedengaran lebih lembut adalah selembut yang anda inginkan.
- Kami menyesuaikan lagu individu ketika merawakkan album atau ketika mendengar lagu daripada berbilang album (misalnya, ketika mendengar playlist).
Pengimbangan gandaan positif atau negatif akan diguna pakai pada lagu semasa lagu dimainkan.
- Gandaan negatif diterapkan pada induk yang lebih lantang agar tahap kelantangan berada pada -14 dB LUFS. Ini hanya menurunkan kekuatan kelantangan berbanding induk - tiada herotan tambahan berlaku.
- Gandaan positif diterapkan pada induk yang lebih perlahan agar tahap kelantangan berada pada -14 dB LUFS. Kami mempertimbangkan ruang atas lagu dan meninggalkan 1 dB ruang atas bagi pengekodan susutan untuk memelihara kualiti audio.
Contoh: Sekiranya tahap kelantangan lagu adalah pada -20 dB LUFS dan maksimum True Peak adalah -5 dB FS, kami hanya mengangkat lagu kepada -16 dB LUFS.
Pendengar Premium juga boleh memilih tahap penormalan kelantangan dalam tetapan aplikasi untuk mengimbangi persekitaran yang bising atau senyap
- Lantang: -11 dB LUFS
Harap maklum: Kami menetapkan tahap ini tanpa mengira maksimum True Peak. Kami mengguna pakai pengehad untuk mencegah herotan dan pemotongan pada lagu yang perlahan dan dinamik. Pengehad ditetapkan untuk bertindak pada -1 dB (nilai sampel), dengan 5 ms masa serangan dan 100 ms masa reput. - Normal: -14dB LUFS
- Senyap: -19dB LUFS
Petua pengindukan
Penormalan kelantangan bermakna kami tidak selalu memainkan lagu anda pada tahap lagu tersebut diindukkan.
- Sasarkan tahap kelantangan pengindukan anda pada -14 dB LUFS bersepadu dan pastikan tahap kelantangan di bawah maksimum -1 dB TP (True Peak). Ini adalah paling bagus untuk format susutan (Ogg/Vorbis dan AAC) serta akan memastikan tiada herotan tambahan yang diperkenalkan dalam proses penukaran kod.
- Jika induk anda berbunyi lebih lantang berbanding -14 dB LUFS bersepadu, pastikan induk kekal di bawah -2 dB TP (True Peak) untuk mengelakkan herotan tambahan. Hal ini demikian kerana lagu yang lebih lantang lebih mudah mendapat herotan tambahan semasa proses penukaran kod.