Tidak jumpa apa yang anda cari?

Penstriman buatan dan perkhidmatan pihak ke-3 berbayar yang menjamin strim

Perkhidmatan pihak ke-3 berbayar yang menjamin strim adalah tidak sahih.

Perkhidmatan promosi pihak ke-3 yang mengiklankan strim untuk mendapatkan bayaran melanggar terma & syarat kami. Penggunaan perkhidmatan ini boleh mengakibatkan muzik anda dikeluarkan daripada Spotify.

Sebarang perkhidmatan yang mengaku menawarkan kemasukan yang dijamin dalam playlist di Spotify sebagai pertukaran dengan wang, melanggar terma & syarat kami dan tidak sepatutnya digunakan.

Baca blog kami untuk mendapatkan panduan bagi memperoleh ikutan yang sahih melalui alatan dan sumber Spotify.

Kesan menggunakan perkhidmatan ini

Apabila kami mengenal pasti kes penstriman buatan atau manipulasi strim, kami mengambil tindakan yang mungkin termasuk menahan royalti berkaitan, membetulkan angka penstriman umum dan langkah berjaga-jaga bagi memastikan populariti artis atau lagu digambarkan dengan tepat dalam carta kami.

Dalam sesetengah kes, kami boleh mengalih keluar strim buatan yang disahkan daripada data anda sebelum papan pemuka Spotify for Artists anda disegarkan semula. Dalam kes lain, anda masih boleh melihat lonjakan penstriman buatan dalam data Spotify for Artists anda, walaupun royalti yang berkaitan mungkin ditahan. Spotify juga berhak untuk mengalih keluar kandungan yang dimanipulasi daripada platform sekiranya penstriman buatan dilakukan berulang kali atau secara terang-terangan.

Kami berkongsi laporan bulanan dengan label dan pengedar tentang penstriman buatan yang disahkan pada platform kami. Berdasarkan laporan tersebut, pengedar anda boleh mengambil tindakan seperti memberikan amaran atau dalam kes yang dilakukan secara terang-terangan atau berulang kali, mengalih keluar kandungan anda daripada perkhidmatan penstriman atau menggantung akaun anda.

Sekiranya hal ini berlaku kepada anda tetapi anda yakin bahawa strim anda diperoleh secara sahih, anda harus berkongsi maklumat dengan pengedar atau label anda tentang kaedah yang digunakan bagi mempromosikan kandungan yang dimaksudkan. Mereka akan bekerjasama dengan pasukan kami untuk membuat semakan dan harapnya, masalah ini akan diselesaikan dengan cepat.

Cara Spotify melindungi daripada penstriman buatan

Strim buatan ialah strim yang tidak menggambarkan niat pendengaran pengguna yang sebenar, termasuklah sebarang percubaan untuk memanipulasi Spotify menggunakan proses automatik (cthnya bot atau skrip).

Kami meletakkan banyak sumber kejuruteraan dan penyelidikan dalam mengesan, mengurangkan dan mengeluarkan aktiviti penstriman buatan di Spotify agar tiada apa-apa yang menghalang misi kami untuk memberikan peluang kepada artis menjana pendapatan daripada hasil karya mereka serta pemegang hak dibayar setimpal dengan hasil kerja mereka.

Integriti ini sangat penting buat kami kerana strim yang tidak sah bermakna ada artis jujur dan rajin yang boleh terjejas.

Caj penstriman buatan

Spotify telah memperkenalkan langkah pencegahan baharu untuk melawan penstriman buatan. Berkuatkuasa 1 April 2024, Spotify akan mengecaj label dan pengedar bagi setiap lagu apabila penstriman buatan secara terang-terangan dikesan dalam kandungan mereka. (Caj ini hanya dikenakan untuk kadar penstriman buatan yang sangat tinggi bagi setiap lagu.)

Ketahui lebih lanjut

Kami mampu melawan penstriman buatan sebaik sahaja isu ini cuba dilakukan pada platform kami, tetapi industri akan menjadi lebih baik jika insentif pelaku jahat untuk memuat naik kandungan ke Spotify dan perkhidmatan penstriman lain dilupuskan terlebih dahulu.

Kami percaya bahawa penyelesaian ini akan mencegah label dan pengedar daripada berterusan mengedar muzik pelaku jahat yang terkenal yang cuba untuk menghalang wang daripada sampai kepada artis yang jujur dan rajin serta mencegah pelaku jahat itu sendiri.

Caj ini akan menyokong usaha berterusan kami untuk memastikan industri dan platform bebas daripada aktiviti penstriman buatan.

Adakah artikel ini berguna?